Tepat jam 12 tengah hari semalam tamatlah sudah episod satu kehidupan aku di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Noktah pada kertas jawapan bagi soalan peperiksaan Artificial Intelligence yang kejam bukan bermakna soalan itu habis dijawab tetapi bermaksud tiada lagi peluang untuk aku berjuang pada kertas berkenaan. Harapan aku agar selepas ini masa yang diperuntukkan untuk menjawab kertas berkenaan dipanjangkan sehingga 4 jam.

Dan dengan ini sebuah lagi episod baru bermula apabila aku akan melangkah ke alam pra-pekerjaan pada 1hb Jun ini. Aku bakal menimba pengalaman sebagai seorang
Java/J2ME developer atau pembina Java/J2ME di syarikat
Forest Interactive yang lokasinya terletak di Megan Avenue II berhadapan KLCC. Yang aku harapkan proses transformasi yang akan aku lalui berjaya diharungi dengan jaya dan meninggalkan impak positif.
Malam ini aku akan melangkah keluar dari UTP dengan nada melankolik kerana tidak dapat lagi menatap dan merasai suasananya buat satu jangka yang lama. Masih banyak lagi tanggungjawab yang ditinggal untuk disambung di kemudian hari. Aku ingin menyusun jari memohon maaf kepada semua atas khilaf perbuatan aku selama ini. Juga ingin aku berterima kasih atas segala bentuk curahan ilmu dan pengalaman yang ditimba. Terima kasih semua!
Sebelum pintu gerbang dilewati, aku bakal menatap wajah manusia yang paling aku sayang di UTP iaitu pegawai sekuriti. Oh, mengapa aku memanggil mereka pegawai sekuriti selama ini? Kerana aku masih ingat sewaktu awal-awal pendaftaran Minggu Aluan Siswa, pelajar dipesan agar menghormati mereka dengan memanggil gelaran pegawai sekuriti kerana mereka bukan pak guard biasa. Anda yang masih ingat, nilailah sendiri.
.jpg)
Ya, memang betul. Mereka bukan sekadar
pak guard biasa. Mereka gigih menjalankan tugas menjaga keamanan UTP. Mereka juga berkuasa mengeluarkan kertas putih berpendua kuning yang diselitkan di bilah pengilap cermin kereta atas kesalahan meletak kereta di garisan kuning. Inilah buktinya. 9 saman dikumpul yang puratanya satu saman sebulan semenjak semester Julai 2008 dibuka sehingga tamat semester Januari 2009. Saman yang diterima secara berterusan akhirnya terhenti pada bulan Mac tahun ini apabila aku nekad membeli sebuah basikal
BMX bagi mengatasi masalah ini. Mujur basikal aku tidak disaman juga.

Akhir sekali, aku ingin memuji dan berterima kasih kepada pimpinan MPP sesi kali ini. Dengan slogan 'Empowering Evolution' ternyata berjaya melaksanakan perubahan. Juga aku ingin menyeru seluruh warga UTP supaya sedar akan kewujudan mereka dan keupayaan mereka melaksanakan perubahan. Masakan tidak sedar lagi apabila terpandang kain rentang yang cukup gah tergantung di segenap pelusuk UTP juga kiriman-kiriman mel elektronik dalam mencerminkan usaha mereka.Dan sewajarnya kita perlu membuat satu kain rentang khas yang berbunyi 'Terima Kasih MPPUTP Atas Usaha Keras Anda'.
Selamat maju jaya untuk semua rakan-rakan yang akan memulakan alam baru pra-pekerjaan 1hb Jun ini.
Luasnya samudera dalamnya bumi
Mendasari ilmu ke akar umbi
Di dunia tanpa sempadan
Kami berazam membina harapan
Berpegang kepada nilai yang murni
Kemakmuran insan misi kami
Hasil dituai benih disemai
Laba dinikmati beramai-ramai
Universiti Teknologi PETRONAS
Setiap warganya cerdas dan tangkas
Berilmu, beriman, berpandangan jauh
Di bidang teknologi berdiri teguh
Bersama ilmu, yakin dan jati diri
Kami bertekad mencurah bakti
Untuk dunia, untuk manusia
Matlamat kami, sejahtera semua